Permohonan Pengambilan IPTA Sesi Disember 2009 / Januari 2010
Written on September 6, 2009 by nikbir09
Permohonan kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi pengambilan sesi Disember 2009 / Januari 2010 akan mula dibuka oleh beberapa universiti yang terlibat. Pengambilan bagi sesi Disember 2009 / Januari 2010 ini diuruskan sendiri oleh universiti yang berkenaan. Oleh itu semua permohonan perlulah dibuat terus kepada universiti yang tersebut. Berbeza bagi pengambilan sesi Julai yang lalu ianya diuruskan secara berpusat oleh Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar atau lebih dikenali dengan UPU di bawah Kementerian Pengajian Tinggi.
Pengambilan sesi Disember 2009 / Januari 2010 ini memberi peluang kepada sebilangan orang pelajar yang gagal atau terlepas peluang untuk melanjutkan pelajaran semasa pengambilan sesi Julai yang lalu. Oleh itu lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Matrikulasi, Asasi, Diploma dan kelulusan lain yang setaraf dengannya yang berminat bolehlah membuat permohonan.
Walaupun begitu hanya sebahagian sahaja universiti yang ada membuat pengambilan dan tidak semua program pengajian yang akan ditawarkan.
Setelah menyemak kesemua laman web IPTA, berikut adalah IPTA yang ada membuat pengambilan bagi sesi Disember 2009 / Januari 2010 setakat ini;
Universiti Teknologi MARA (UiTM)
UiTM telah membuka permohonan kepada calon-calon bumiputera warganegara Malaysia yang berkelayakan untuk melanjutkan pelajaran di UiTM bagi kemasukan sesi Disember 2009 secara sepenuh masa atau pengajian luar kampus (separuh masa) melalui program-program pengajian Asasi/Diploma/Pra Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Pengajian Luar Kampus dan Profesional/Lepasan Ijazah.
Tarikh tutup permohonan bagi program pengajian Asasi/ Diploma/ Pra Diploma dan Ijazah Sarjana Muda adalah 16 September 2009 (12:00 malam) dan bagi Profesional dan Lepasan Ijazah adalah 30 September 2009 (12:00 malam).
Maklumat lanjut berkenaan pengambilan sesi Disember 2009 UiTM boleh diperolehi di laman web UiTM Online dan Bahagian Pengambilan Pelajar UiTM.
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
UIAM juga ada membuka permohonan untuk semua warganegara Malaysia yang berkelayakan untuk melanjutkan pelajaran di UIAM bagi kemasukan sesi November 2009.
Tarikh tutup untuk menghantar permohonan adalah pada 30 September 2009.
Maklumat mengenai kursus yang ditawarkan dan syarat kelayakan masuk sila rujuk di laman web UIAM Admisions and Records Division.
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
UKM juga mempelawa calon-calon yang berkelayakan bagi memohon untuk mengikuti Program Pengajian Siswazah (Doktor Falsafah, Sarjana dan Diploma Siswazah) sama ada secara Sepenuh Masa atau Separuh Masa bagi Semester II Sesi 2009/2010 yang akan bermula pada Disember 2009.
Tarikh tutup permohonan adalah 28 Ogos 2009.
Maklumat lanjut berkenaan program pengajian yang ditawarkan dan kelayakan minimum untuk permohonan program pengajian siswazah Semester II sesi 2009/2010 (Ambilan Disember 2009) UKM ini boleh diperolehi di Pusat Pengurusan Siswazah UKM.
Universiti Sains Malaysia (USM)
USM juga ada membuat pengambilan calon peringkat ijazah pertama bagi kemasukan khas, kemasukan saluran kedua, warga emas dan pengajian jarak jauh.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut dan mengetahui tarikh permohonan dibuka dan ditutup untuk pengambilan ini bolehlah merujuk kepada laman web Saluran Kemasukan USM. NOTA : Belum ada maklumat terkini.
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
UTHM juga mempelawa calon-calon yang berkelayakan untuk mengikuti salah satu daripada program pengajian yang mereka tawarkan bagi Semestar II Sesi 2009/2010.
Maklumat lanjut berkenaan program pengajian yang ditawarkan, tarikh permohonan ditutup dan butir-butir lain mengenai program pengajian Semester II sesi 2009/2010 (Ambilan Disember 2009) ini boleh diperolehi di laman web Sistem Permohonan Kemasukan Pelajar UTHM. NOTA : Belum ada maklumat terkini.
Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
UTM cuma membuat pengambilan untuk beberapa program pengajian sahaja bagi ambilan Semester II sesi 2009/2010 untuk pengajian sepenuh masa dan separuh masa.
Maklumat lanjut mengenai permohonan kemasukan ke UTM Semester II sesi 2009/2010 (ambilan Disember) ini boleh diperolehi di laman web UTM Admission dan Permohonan Kemasukan Pelajar ke UTM. NOTA : Belum ada maklumat terkini.
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
UPSI juga ada membuka permohonan untuk calon-calon lulusan STPM, STAM, Matrikulasi dan Diploma yang berkelayakan untuk mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) bagi pengambilan sesi akademik Disember 2009.
Maklumat lanjut berkenaan program pengajian pengambilan Disember ini boleh dirujuk di laman web Permohonan Dalam Talian UPSI. NOTA : Belum ada maklumat terkini.
Universiti Utara Malaysia (UUM)
UUM juga ada membuat pengambilan bagi Program Ijazah Pertama Muda untuk Semestar II sesi 2009/2010. Permohonan boleh dibuat oleh warganegara Malaysia yang mempunyai kelayakan Diploma, STPM, Matrikulasi atau kelulusan lain yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia dan Senat Universiti.
Maklumat lanjut berkenaan pengambilan Semestar II sesi 2009/2010 ini boleh diperolehi dari laman web Kemasukan Ke UUM. NOTA : Belum ada maklumat terkini.
Maklumat di atas diperolehi daripada laman web IPTA yang berkenaan. Laman web kesemua IPTA boleh disemak di Senarai IPTA Universiti Di Malaysia. Jika anda mempunyai sebarang maklumat tentang pembukaan permohonan ke IPTA sesi Disember 2009 / Januari 2010 sila tinggalkan komen dan ianya akan dikemaskini di sini supaya sama-sama dapat berkongsi mengenainya.
If you enjoyed this post Subscribe to our feed




