Sistem Sukuk Dalam Projek Menaik Taraf Kem Tentera
Written on July 11, 2010 by nikbir09
MELAKA, 11 Julai (Bernama) — Kementerian Pertahanan bercadang menggunakan sistem sukuk dalam pembayaran kepada syarikat kontraktor yang terlibat dalam kerja menaik taraf 100 kem tentera dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).
Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sistem itu akan dilaksanakan sekiranya diluluskan Kementerian Kewangan dan Unit Kerjasama Awam dan Swasta.
“Kita mahu sesuatu projek itu disiapkan lebih cepat iaitu dalam tempoh 36 bulan dari tarikh permulaan kerja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Tangga Batu di sini.
Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno, berkata kerja mengubahsuai dan menaik taraf 100 kem itu dengan peruntukan kira-kira RM3.5 bilion, turut melibatkan pembinaan rumah kediaman untuk anggota tentera dan menaik taraf prasarana lain seperti wisma pahlawan, wisma bentara, bangunan pentadbiran dan pusat latihan.
Beliau berkata projek jangka panjang itu yang akan memberi imej baru kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan dimajukan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) melalui Perbadanan Perwira Harta dan antara syarikat kontraktor ialah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
“Kita juga akan menggunakan kaedah Sistem Binaan Industri (IBS) yang mampu mempercepatkan sesuatu bangunan itu disiapkan,” katanya.
– BERNAMA
If you enjoyed this post Subscribe to our feed



